Wednesday, October 24, 2012

5 BAHASA KASIH SAYANG

Bismillahirrahmanirrahim, sekadar perkongsian ilmu dan amal. semoga bermanfaat. 

“Assalamualaikum ustaz. Saya mempunyai anak berusia tujuh tahun. Apabila saya menegur kesalahannya, dia mengatakan yang saya tidak sayangkan dia serta melebihkan adik beradik yang lain sedangkan kasih sayang saya kepada anak-anak tidak berbelah bagi. Apa nasihat ustaz?”

Demikian soalan yang ditanya oleh salah seorang peserta bengkel Sinergi Keluarga Bahagia anjuran bersama Nisa’ Titiwangsa, Yayasan Prihatin Titiwangsa dan Yayasan Selangor, semalam. Program ini terhasil daripada inisiatif YB Dr. Lo’lo’ Hj Mohd Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang menghubungi saya melalui Twitter menyatakan hajat besarnya mahu mengadakan sebuah program kekeluargaan terutamanya bagi penduduk sekitar Parlimen Titiwangsa yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Alhamdulillah.

Soalan dihantar dalam bentuk nota dan ia bagus kerana di dalam program yang membabitkan hal-hal kekeluargaan, biasa sekali peserta segan hendak bertanya kerana tidak mahu kondisi rumahtangganya ‘dinilai’ oleh peserta-peserta lain.

KASIH TANPA SYARAT


Mendisiplinkan anak-anak lebih mudah jika anak mempunyai tahap emosi yang baik.

Mereka yakin dengan kasih sayang ibu bapa kepada mereka, justeru teguran tidak ditafsirkan sebagai benci, sebaliknya pembetulan dan disiplin.

Mengasihi anak-anak tanpa syarat tidak sama sekali bermaksud menjadi permisif. Anak-anak perlu didisplinkan, tetapi ia mesti SENTIASA bertitik tolak daripada rasa kasih sayang, bukannya benci. Peka terhadap intonasi dan gaya bahasa yang diguna pakai semasa memarahi anak sama ada ia terbit daripada kasih sayang atau benci.

“Kenapa tumpahkan air ini? Banyak kali emak dah tegur. Kamu ni!!!” si ibu meninggikan suara.

“Hishhh, kenapa kamu ni? Bodoh betullah, berapa kali emak nak cakapppp!” si ibu tidak begitu meninggikan suara tetapi menegur anak sambil jari telunjuknya ditujah-tujah ke dahi anak.

Nilaikan, mana satu teguran yang bertitik tolak daripada kasih sayang, dengan teguran yang terbit daripada rasa marah yang tidak terkawal hingga berubah menjadi benci.

Mengasihi anak dengan syarat, sungguh mengelirukan si anak.

BAHASA KASIH SAYANG

Keduanya, sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini, anak-anak malah manusia dewasa juga mengasihi dan dikasihi dalam bentuk-bentuk yang berbeza (The Five Love Languages for Children oleh Gary Chapman). Biar pun kelima-lima bahasa kasih sayang itu penting, namun setiap seorangnya akan lebih terkesan dengan salah satu daripada lima bahasa kasih sayang tersebut.

Bahasa-bahasa itu ialah:

  • Sentuhan fizikal 
  • Perkataan 
  • Masa berkualiti 
  • Hadiah 
  • Khidmat bakti 
Semua ibu bapa sayangkan anak-anak. Tetapi ramai anak yang merasakan bahawa dirinya tidak disayangi (Gary Chapman). Salah satu puncanya ialah, ibu bapa mengasihi anak-anak hanya dengan menggunakan satu atau dua bahasa sahaja.

Misalnya, ibu bapa menunjukkan rasa kasih sayangnya kepada anak-anak dengan ‘perkataan’ apabila selalu menyebut kepada anak-anak, “ayah sayangkan kamu semua” atau “ibu sayang Adam, sayang Anas, sayang Anis”. Jika Anas dan Anis itu bahasa utama kasih sayangnya ialah perkataan, maka ungkapan itu berjaya membantu mereka yakin bahawa mereka memang disayangi. Tetapi jika bahasa utama kasih sayang Adam ialah sentuhan fizikal, biar pun dia juga diberitahu bahawa dia dikasihi oleh ayah dan ibunya, dia tidak dapat merasakan kasih sayang itu kerana ibu dan bapanya tidak memeluk, mencium, mengusap atau bergomol dengan Adam mahu pun adik-adik yang lain.

Dalam keadaan Adam tidak yakin dengan kasih sayang ibu bapanya kepada dia, usaha mendisiplinkan anak ini menjadi lebih rumit dan mencederakan jati diri.

Perhatikanlah tabiat-tabiat anak apabila mahu mendapatkan perhatian, juga cara anak-anak menunjukkan kasih sayangnya kepada kawan-kawan atau kepada kita sendiri, teliti apakah bentuk kasih sayang yang dia minta, apakah keluhan yang sering disuarakannya, dan perhatikan tabiat-tabiatnya dalam kehidupan seharian, untuk anda mengenal pasti bahasa kasih sayang utama setiap anak.

Andaikata ia tidak berhasil dilakukan, amat malang sekali jika anda yang sangat mengasihi anak-anak, dianggap oleh anak sebagai tidak menyayangi mereka semata-mata kerana anda tidak peduli kepada keistimewaan dan keunikan setiap seorang anak yang dianugerahkan oleh Allah itu.

Sesungguhnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menuturkan kelima-lima bahasa cinta itu.

Baginda memang seorang Murabbi Cinta.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

nota:

-Alhamdulillah3x..

-setiap apa yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi yang kita mungkin tidak dapat ungkapkan dan rungkaikan mutiara hikmahnya dalam masa yang singkat. mungkin bila kita merenungkan kembali peristiwa setiap peristiwa pasti kita akan tersenyum dan bersyukur. 

-tiada apa musibah atau kesusahan yang berlaku tanpa izinNya, semua itu mengajar kita lebih tabah serta sabar dan lebih dekat kepada yang maha Pengasih lagi maha Penyayang. 

-yang paling istimewa, setiap apa datang dalam hidup ini. saya dapat ilmu tentangnya! hari ini saya dapat ilmu tentang bahasa kasih sayang! Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!.. 

-Ingin berkongsi kata-kata pakar motivasi rohani yang saya segani ustaz Pahrol Muhammad Juoi 'ketika hati gelisah bertanya mengapa permintaanku lambat diperkenankan Tuhan, 'bentaklah' ia dengan berapa banyak kewajipan kepadaNya tidak dilaksanakan?'

-Akhir kalam, semoga kita semua diberikan kekuatan untuk istiqamah sebagai hambaNya dan khalifah dimuka bumi ini.. amin ya Rabb.. 

Monday, October 22, 2012

KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH SAW

Bismillahirrahmanirrahim, sekadar perkongsian. semoga bermanfaat. 

Padang Arafah. Pada tahun ke 10 Hijrah ketika mengerjakan Hujjatul Wada’, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya yang terakhir (Khutbah Wida’). Baginda bertolak ke Arafah dari mina setelah naiknya matahari 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untuk baginda dan baginda masuk serta berada di dalamnya sehingga tergelincir matahari (waktu zohor).

Selepas itu, baginda pun mengarahkan disiapkan untanya al-Qaswah, lalu menaikinya sehingga baginda tiba di Wadi Uranah. Di hadapan baginda, ribuan para sahabat mengelilingi baginda. Semuanya menanti penuh debar. Apakah ingin disampaikan baginda. Ramainya manusia yang berhimpun pada haji wida’ itu. Ada riwayat mengatakan jumlahnya mencecah 144,000 orang semuanya.

Baginda pun menyampaikan khutbahnya yang bersejarah:

“Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan, beristighfar dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada siapa yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberikan hidayat kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu supaya mentaati-Nya. Aku membuka khutbahku ini dengan mukaddimah yang baik.

Wahai manusia! Sila dengar apa yang akan aku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.

1. Sesunguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar ini Makkah dan kawasan sekitarnya.

2. Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.

3. Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakimu (iaitu telah dihapuskan).

4. Tuntutan hutang darah di zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Rabi’ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.

5. Riba adalah haram dan aku memulakannya dengan membatalkan riba yang akan diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.

6. Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk. Jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan pakai dengan baik.

7. Semua orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu tidak halal bagi seorang muslim mengmbil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.

8. Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

9. Wahai manusia! Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku dan tidak ada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci Tuhanmu (kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.

10. Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain kecuali dengan taqwa.

11. Allah SWT telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati, oleh itu tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat dari para malaikat dan seluruh manusia.

12. Kemudian kamu akan disoal tentang aku, maka apa yang akan kamu jawab? Mereka menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalah-Mu.” Baginda lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata, “Ya Allah! Saksikanlah.” Baginda Rasulullah mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan Rasulullah SWT dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi’ah bin Umaiyyah bin Khalaf ra.

Baginda berkhutbah di atas untanya al-Qaswah. Di sinilah turunnya wahyu mengenai kesempunaan agama Islam. “Pada hari ini telah disempurnakan bagimu agamamu, dan telah kucukupkan nikmat-ku kepadamu, dan telah kuredhakan Islam itu menjadi agama untukmu. (Al-Maidah ayat 3)

Selepas baginda membacakan wahyu ini, para sahabat saling berpelukan kerana begitu gembira. Namun Sayyidina Abu Bakar perasan al-Qaswah unta nabi menitiskan air mata dengan banyak. Beliau pun ikut menangis.

Sayyidina Umar bertanya apakah sebabnya lalu Sayyidina Abu Bakar menjelaskan. Di sebalik berita gembira sempurnanya agama Islam, wahyu penutup itu juga petanda khabar duka. Baginda pasti akan meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai Rasul sudahpun selesai. Mendengar itu Sayyidina Umar pun menangis sama, begitu juga dengan para sahabat yang lain.

-ceramah berkenaan khutbah terakhir Nabi SAW:Al Habib Ali Zaenal Abidin 

















:..USTAZ SAYANG ANDA ~ Ustaz Azhar Idrus Ustaz Don Ustaz Haslin dll ..:

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamua'laikum wbt, 
sekadar perkongsian. semoga bermanfaat. 

Sunday, October 21, 2012

Cinta-Ku


Cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling mencintai kerana KU
Cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling bersilaturrahim kerana KU
Cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling menasihati kerana KU
Cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling mengunjung kerana KU
Cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling memberi kerana KU
[Iman Ahmad, Al-Musnad], [Hadis Qudsi]


HADITH TENTANG MENAHAN MARAH

Diriwayat daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki meminta nasihat daripada Nabi s.a.w. katanya, "Berilah wasiat kepadaku." Sabda s.a.w ,'Janganlah engkau marah.' Lelaki itu mengulangi (permintaannya) beberapa kali. Rasulullah s.a.w. tetap bersabda, "Janganlah engkau marah." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Larangan jangan marah


Marah adalah sifat semula jadi yang ada pada semua orang, antara mereka ada yang cepat marah dan ada yang lemah lembut. Marah bukanlah suatu sifat yang boleh dibuat serta merta, malah ia biasanya didahului sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang itu marah, perasaannya memberontak dan akan bertindak kasar. Seseorang yang sedang marah akan hilang kewarasan fikirannya. Pertimbangannya sudah hilang, lidahnya asyik memaki hamun dan mengejek-ejek. Kadang-kadang perasaan marah berlanjutan sehingga menimbulkan permusuhan antara keluarga dan sahabat handai, dan lebih aneh lagi ada orang boleh berkelahi dengan benda-benda yang tidak berakal.

Perasaan marah dapat diatasi dengan mengikuti beberapa panduan yang ditunjukkan oleh Islam, iaitu:


1. Hendaklah melatih diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, lemah lembut, berhati-hati dalam membuat keputusan. Sifat ini hendaklah berpandu kepada contoh yang paling baik iaitu contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w terutamanya contoh yang terdapat dalam Sunnahnya yang bersifat amali. Hendaklah mengawal dan menguasai diri ketika didatangi perasaan marah, iaitu dengan mengingati akibat buruk yang akan menimpa dan kelebihan pahala orang yang menahan marah serta memaafkan sahaja seseorang melakukan kesalahan yang menyebabkan dia marah, firman Allah S.W.T: "Dan orang yang menahan kemarahan-nya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Ali Imran3-134)

2. Memohon kepada Allah supaya menjauhkannya daripada syaitan yang dilaknat. Panduan ini dinyatakan didalam Al-Quran melalui firman Allah S.W.T.: "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui." (al-A'raf :200)

3. Meninggalkan tempat yang menyebabkan seseorang itu marah. Sabda Baginda: "Apabila seseorang kamu marah, sedang dia berdiri, maka duduklah, jika marahnya berhenti (maka baiklah) jika belum, maka hendaklah dia berbaring." (Abu Daud)

4. Mengambil wuduk, sabda Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api,apabila kamu marah, maka hendaklah dia mengambil wuduk." (Abu Daud)

Oleh kerana besarnya bahaya marah, Nabi s.a.w. melarang keras seseorang daripada marah, dengan menyifatkan orang yang berjaya menahan diri daripada perasaan marah sebagai pahlawan yang berani. "Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah." (Al-Tirmizi)

Nabi s.a.w bersabda:
Carilah kedudukan yang tinggi di sisi Allah Ta'ala. Para sahabat bertanya: Apakah kedudukan yang tinggi di sisi Allah itu, wahai Rasulullah? Baginda s.a.w bersabda: Engkau menyambung hubungan dengan orang memutuskan hubungan denganmu, engkau memberi orang yang mengharamkan pemberian kepadamu dan engkau bersikap halim terhadap jahil yang menyakitimu iaitu engkau tidak marah orang yang menyakitimu.

Nabi saw bersabda:
Sesungguhnya seorang lelaki itu dengan sifat hilmnya akan mencapai darjat orang yang berpuasa siang hari dan darjat orang yang beribadat pada malam hari, dan sesungguhnya orang yang pemarah itu akan dituliskan untuknya siksaan orang gagah yang membesarkan dirinya menyangkali Allah Ta'ala, sedangkan ia tidak memilik apa-apa selain isi rumahnya sahaja.

Nabi saw bersabda:
Apabila Allah Ta'ala telah menghimpunkan seluruh manusia pada hari kiamat, seorang penyeru menyeru: Mana dia ahli Fadhl iaitu orang-orang yang mempunyai kelebihan. Maka berdirilah orang-orang yang sedikit jumlahnya dan dengan segera menuju ke syurga. Para malaikat menemui mereka dan berkata: Kami lihat kamu ke syurga dengan segera. Mereka berkata: Kami adalah ahli Fadhl. Para malaikat bertanya: Apakah kelebihan kamu? Mereka menjawab: Dahulu apabila kami dianiayai kami bersabar. Apabila disakiti kami memaafkan orang yang menyakiti kami. Apabila kami diperbodohkan oleh orang jahil, kami bersikap hilm iaitu tidak marah kepadanya. Para malaikat pun berkata: Masuklah kamu ke dalam syurga dan ianya sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal kebajikan.

sumber: cahayamukmin.blogspot.com

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails