بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta
salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap perbuatan maksiat dan dosa besar yang dilakukan oleh
manusia boleh mendatangkan kemurkaan
Allah SWT. Kadangkala didatangkan musibah oleh Allah SWT keatas manusia berupa
kemarau, banjir, jerebu, tsunami, gempa bumi dan tanah runtuh. Semua ini
sebagai peringakat agar manusia memikirkan balik apakan kesalahan dan dosa yang
telah mereka lakukan.
Bagi orang-orang yang beiman setiap kejadian alam berupa
musibah akan dijadikan sebagai pengajaran supaya mereka boleh bermuhasabah
diatas kelemaham diri sendiri,(banyak melakukan dosa) tetapi bagi orang kafir
atau mereka yang lemah imannya semua peristiwa hanya dikaitkan dengan bencana
alam tanpa dihubungkan dengan kemurkaan Allah SWT.
Allah SWT bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada
para hamba-Nya masih menerima dan membuka pintu taubat bagi hamba-hambaNya yang
ingin kembali bertaubat walaupun puluhan tahun melakukan maksiat dan dosa-dosa
besar. Dalam masa yang lama Allah SWT masih menutup aib hamba-Nya dan diberi
peluang untuk bertaubat.
Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat satu kisah seorang lelaki Bani Israil telah
bermaksiat kepada Allah selama 40 tahun. Dia tidak pernah dia meninggalkan
maksiatnya itu dan tidak pernah pula sekalipun dia bertaubat.
Diizinkan Allah, datang suatu tahun yang kemarau sangat
panjang. Hujan tidak lagi turun, ternakan kurus kering, tanaman semuanya mati,
sungai pun menampakkan dasarnya yang kering kontang.
Maka Bani Israil pun berkata kepada Nabi Musa a.s. :
"Ya Musa, berdoalah kepada Allah supaya menurunkan hujan."
Maka Nabi Musa a.s. pun mengumpulkan semua Bani Israil
seraya berdoa bersama : "Ya Allah turunkanlah hujan...Ya Allah turunkanlah
hujan..."
Hujan masih jua belum turun. Nabi Musa a.s.selanjutnya
berbicara dengan Allah : "Ya Tuhanku, mengapakah hujan masih belum
turun?"
Maka Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Musa : "Aku tidak
akan turunkan hujan kerana ada seorang lelaki di antara kamu yg telah
bermaksiat kepada-Ku selama 40 tahun. Kerana maksiatnya itu, aku menahan hujan
dari turun."
Maka Nabi Musa berkata : "Jika demikian, apa harus aku
lakukan?"
Maka firman Allah : "Keluarkannya dari tempat
ini."
Maka Nabi Musa pun berkata kepada kaumnya :"Wahai Bani
Israil, di antara kita ini ada seorang yang telah bermaksiat kepada Allah
selama 40 tahun. Dan kerana maksiatnya itulah Allah telah menahan hujan dari
turun. Dan Dia tidak akan menurunkan hujan sehinggalah si pemaksiat itu keluar
meninggalkan kita. Maka, keluarlah dari sini siapa pun kamu wahai
pemaksiat!"
Orang yang melakukan maksiat itu pun sedar dialah yg
dimaksudkan itu. Dia pun melihat sekelilingnya, mengharapkan ada seorang lain
darinya akan keluar. Tetapi tiada seorang pun keluar.
Maka si pemaksiat ini pun mula bermunajat kepada Allah :
"Ya Tuhanku, aku telah bermaksiat kepada-Mu selama 40 tahun... Kau menutup
maksiatku itu dari pengetahuan ramai... Dan jika aku keluar pada hari ini, maka
akan terbongkarlah aibku... Aku berjanji kepada-Mu aku tidak akan kembali lagi
melakukan maksiat ini... Ampunilah aku ya Allah... Tutupilah aibku ya
Allah..."
Maka dengan kehendak-Nya, hujan pun mula turun.
Nabi Musa pun menjadi hairan, "Ya Rabb, Kau telah
turunkan hujan, tetapi tiada seorang pun yang keluar meninggalkan kami."
Maka kata Allah SWT, " Wahai Musa, Aku turunkan hujan
kerana kegembiraan Ku dengan taubat hamba-Ku yang telah bermaksiat selama 40 tahun
itu."
Maka kata Nabi Musa : "Tunjukkanlah aku siapa orang
itu, supaya dapat aku sampaikan berita gembira ini."
Kata Allah SWT : "Wahai Musa, dia telah bermaksiat
kepada-Ku selama 40 tahun dan aku menutup maksiatnya itu. Maka adakah pada hari
dia kembali kepada-Ku aku mendedahkan siapa dia?"
Sahabat yang dikasihi,
Jika Allah SWT telah menutup aib seorang hamba-Nya yang
telah melakukan maksiat selama 40 tahun dan mengampunkan dosa-dosanya ketika
mana dia bertaubat kenapakah kita tidak boleh menutup aib saudara-saudara kita
? Kenapakan kita suka sangat mendedahkan aib orang lain walaupun kita
mengetahui mendedahkan aib adalah satu dosa besar yang sangat dibenci oleh
Allah SWT. Mungkin orang yang memiliki aib itu telah bertaubat kepada Allah SWT
tetapi kita masih seronok mengaibkannya.
Allah SWT tidak suka kita membuka aib orang lain dan juga
membuka aib kita sendiri . Ada dikalangan kita suka menceritakan
kejahatan-kejahatannya dimasa yang lampau dan merasa megah pula dengan
perbuatan maksiat tersebut.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Orang yang menutupi aib
orang lain di dunia, Allah akan menutupi (aib)nya pada hari kiamat.” (Hadis
Riwayat Muslim)
Sekiranya kita sendiri melakukan kesalahan atau maksiat,
sesuatu yang aib kerana kelalaian, maka sembunyikanlah dan jangan
membicarakannya pada orang lain. Membicarakannya kepada orang lain juga
merupakan suatu perkara yang dosa. Apatah lagi jika ia membuat diri ini menjadi
popular kerana kesalahan itu. Yang demikian itu akan menjadi penghalang pintu menuju
Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Semua umatku (yang
bersalah) pasti dimaafkan, kecuali orang-orang yang membeberkan (menceritakan
kesalahannya kepada masyarakat tanpa perasaan bersalah). Orang yang membeberkan
kesalahannya adalah orang yang melakukan satu perbuatan (dosa) di malam hari,
kemudian masuk pagi hari dan Allah menutupi kesalahannya. Namun kemudian dia
bercerita kepada orang lain, ‘Wahai Fulan, aku telah melkukan ini dan itu tadi
malam.’ Allah menutupi perbuatannya itu dan dia membuka tutup itu di pagi
hari.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berhati-hatilah bila kalian berbicara jangan sampai bicara
kalian boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan boleh mencampakkan diri
kalian ke neraka. Displinkanlah diri kalian dan lidah kalian supaya tidak mudah
membicarakan sesuatu yang boleh membuka aib orang lain hatta aib diri sendiri .
Jika tidak perlu berkata-kata maka lebih baik diam (berzikir di hati) dan
bersikap tawaduklah kerana sifat tawaduk adalah ciri-ciri orang bertakwa.
No comments:
Post a Comment