Tuesday, December 18, 2012

The Shade of The Day of Judgement - Mufti Ismail Menk


Rasulullah saw menjelaskan satu keadaan yang amat menggerunkan pada hari kiamat dalam sepotong hadis yang bermaksud:

“ Pada hari kiamat didekatkan matahari kepada makhluk sehingga jaraknya satu batu (sama ada ukuran sekarang ataupun akhirat). Pada ketika itu , manusia berada di dalam peluh masing-masing menurut kadar amalan jahat yang dilakukan. Ada yang (peluhnya) sekadar sampai di buku lali, lutut, pinggang dan mulut (sambil Baginda menunjukkan isyarat ke mulutnya). (Riwayat Muslim dan al-Termizi)


Pada saat tersebut, manusia mencari tempat berteduh untuk berlindung daripada kepanasan. Sebanyak manapun harta kekayaan yang dimiliki semasa di dunia dahulu sudah tidak dapat membantu lagi, kecuali harta yang dibelanjakan dengan cara yang diredhai oleh Allah swt.

Namun, terdapat beberapa golongan VIP tertentu yang dijanjikan oleh Rasulullah saw untuk mendapat tempat “grandstand berbumbung” pada saat genting itu. Abu Hurairah meriwayatkan Baginda bersabda yang bermaksud:

“Tujuh golongan yang Allah akan menaungi mereka pada hari yang mana tiada naungan selain naungan Allah swt”.

Tujuh golongan tersebut adalah:

VIP 1: Pemimpin yang Adil

Golongan ini diletakkan di dalam senarai yang pertama kerana dia bakal melahirkan ramai lagi calon untuk mengisi enam golongan seterusnya. Dalam kitab Dalil Al-Falihin menerangkan makna adil sebagai mematuhi segala perintah Allah swt dengan meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

Pemimpin yang adil akan meletakkan Allah dan Rasulullah saw sebagai rujukan utama dalam setiap keputusan yang diambil. Golongan ini diketuai oleh Rasulullah saw yang menjadi Perdana Menteri di Negara Madinah selama 10 tahun, diikuti oleh Khulafa’ Al-Rasyidin dan setiap pemimpin yang berusaha mencontohi mereka dalam kepimpinan.

VIP 2 : Remaja yang Hidup dalam Ketaatan

Usia remaja sangat mencabar kerana pelbagai pengaruh menghantui mereka sama ada melalui rakan sebaya, media cetak, elektronik dan lain-lain. Jiwa remaja sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru terutama yang menyeronokkan seperti mempunyai pasangan kekasih, merokok, berlumba haram, berkaraoke,  dan pelbagai aktiviti yang ada kalanya mengakibatkan kesan yang sangat negatif terhadap kehidupan mereka.

Namun di celah-celah keributan gejala sosial ini masih ada remaja yang menjaga agama mereka.  Mereka berkawan, berseronok, beraktiviti seperti biasa, namun, batasan agama sentiasa dipatuhi. Halal dan haram menjadi pertimbangan utama dalam kehidupan walaupun ia dipandang asing oleh rakan sebaya. Golongan ini layak menerima naungan Allah swt di akhirat kelak sebagai ganjaran terhadap kekuatan “antibodi” yang menepis segala pujuk rayu maksiat pada usia remajanya.

VIP 3 : Pencinta Masjid

Sepanjang sejarah Islam, terdapat golongan manusia yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi menghidupkan fungsi masjid di atas muka bumi ini. Setiap kebaikan yang berlaku di masjid pasti menggembirakannya dan sebarang usaha atau tindakan untuk mengganggu institusi masjid akan menyentap emosi mereka secara spontan.

Golongan ini mempunyai lima sifat sebagaimana firman Allah swt dalam surah At-Taubah ayat ke 18 iaitu keimanan yang kukuh kepada Allah swt dan hari akhirat, sentiasa mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak pernah takut dalam menjalankan tanggungjawab agama melainkan kepada Allah.

VIP 4: Dua Insan yang Berkasih Sayang kerana ALLAH

Berkasih sayang adalah soal hati. Ia merupakan satu perasaan yang tidak boleh dilakonkan atau dibuat-buat oleh seseorang. Setiap insan pasti ada orang yang dikasihinya sama ada ahli keluarga, sahabat handai ataupun tokoh yang dikagumi. Persoalannya, atas dasar apakah kasih sayang itu dibina?

Sekiranya kerana wajah yang jelita, harta yang melimpah atau kepentingan duniawi yang lain, maka mereka masih belum layak untuk mendapat naungan Allah di akhirat nanti. Perasaan mengasihi kerana Allah lahir apabila melihat seseorang yang sangat bersungguh-sungguh mentaati Allah dalam segenap urusan hidupnya. Persahabatan yang terjalin kerana Allah ini akan menjadikan setiap pertemuan dan perpisahan yang berlaku sebagai urusan agama.

VIP 5 : Pemuda yang Menolak apabila Digoda untuk Berzina

Golongan kelima yang dijanjikan naungan Allah ialah pemuda yang digoda berzina oleh perempuan yang cantik dan berkedudukan, namun dia menolaknya dan berkata:

“Aku takut kepada Allah!”
 
Nafsu dan keinginan orang muda pastinya sentiasa hangat, tambahan pula digoda oleh perempuan cantik dan pangkat yang dimilikinya boleh ‘dimanfaatkan’ untuk mengelak daripada sebarang hukuman atau tindakan daripada pihak tertentu. Dalam keadaan ‘line clear’ ini, anak muda tersebut masih mengingati Allah dengan tegas membuktikan ketakutannya terhadap kemurkaan Allah mengatasi gelojak nafsunya. Dia pasti akan bersama Nabi Yusuf a.s di akhirat kelak bersama-sama para bidadari yang disediakan oleh Allah.

VIP 6: Insan yang Menyembunyikan Sedekahnya

Terdapat insan yang sentiasa “berurus niaga” dengan Allah apabila pelaburannya sentiasa dijuruskan untuk mencapai martabat kemuncak keikhlasan sehingga Rasulullah saw mentamsilkan bersedekah dengan tangan kanan, sehingga tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberikan.
Tidak pernah terdetik di hatinya untuk mendapat pujian daripada manusia yang berada di sekeliling sehingga meninggikan nilai pahalanya walaupun jumlah sedekahnya kecil pada penilaian manusia. Apatah lagi ketika mereka bersedekah dengan jumlah yang besar di samping hatinya yang sangat suci, pasti melayakkan mereka bersama-sama para hartawan daripada kalangan para sahabat Rasulullah saw di akhirat nanti.

VIP 7: Insan yang Mengingati Allah sehingga menitis Air Mata

Golongan terakhir ialah insan yang begitu tekun bermuhasabah tentang diri mereka sehingga menitis air mata di kala berseorangan. Mereka memikirkan dosa-dosa lampau dan betapa banyaknya perintah Allah yang belum ditunaikan. Ayah dan ibu memikirkan anak-anaknya yang tidak menutup aurat, peniaga pula mengingatkan tipu helahnya ketika melariskan jualan, manakala si anak mengimbau dosa-dosa terhadap kedua-dua ibu bapanya dan pelbagai situasi lagi yang akhirnya menyebabkan mutiara-mutiara jernih mengalir di pipi semata-mata kerana Allah swt.

Penulisan : Ustaz Syed Mohd Norhisyam
Sumber : Solusi Isu # 45, m/s 12-13

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails