Pernah saya katakan, kita akan diuji melalui apa yang kita sayangi
dan dengan apa yang selalu kita katakan. Inilah hakikat yang saya alami
semasa cuba berdakwah dalam rangka untuk mendidik diri disamping
mendidik orang lain. Saya cuba memujuk hati dengan berkata, “ketika
Allah menguji kita dengan apa yang kita sering dakwahkan kepada orang
lain, itu petanda Allah mengingatkan kita ketika kita mengingatkan orang
lain.” Agar kita tidak memperkatakan apa yang tidak amalkan…
Namun, suara hati juga mengingatkan, supaya terus melakukan
kebaikan (berdakwah)… bukan kerana kita sudah baik tetapi itulah cara
kita hendak menjadi orang yang baik. Ya Allah, berilah petunjuk kepada
kebimbangan hati ini… kerana ujian di jalan dakwah ini kekadang
dirasakan terlalu berat berbanding iman yang begitu tipis. Hati sering
dipujuk untuk mengakui satu hakikat: Allah tidak akan menguji di luar
kemampuan seorang hamba untuk menghadapinya.
Sahabat-sahabat dan saudara-saudaraku, aku sedang diuji. Begitu
juga dengan kamu, dan kita semua. Lalu untuk memujuk hati ketika
menerima tarbiah Ilahi ini saya nukilkan tulisan ini untuk saya dan kita
semuanya… Tajuknya: ALL IS WELL – semuanya baik belaka.
“Ustaz kata kecemerlangan dunia itu bayangan kecemerlangan akhirat?”
“Ya, “akui saya pendek.
“Atas dasar apa?”
“Berdasarkan kata Imam Syafei, dunia itu adalah tanaman untuk akhirat.”
“Maksudnya?”
“Dunia tempat kita menyemai, akhirat tempat kita menuai. Jika kita
hendak merasai buah yang manis dan banyak , sudah sewajarnya pokok yang
kita tanam baik dan subur.”
“Saya belum faham…”
Saya merenung wajah pelajar yang sebaya dengan anak saya itu. Dia
benar-benar inginkan penjelasan. Terasa masih jauh pendekatan dakwah
saya berbanding ulama-ulama silam – yang bercakap dengan jelas, tepat
dan lemah lembut.
“Begini nak… jika kita hendak menikmati buah yang manis di akhirat,
mestilah pohon yang kita tanam di dunia subur. Maksudnya, di dunia lagi
hidup kita mesti cemerlang, itulah petanda di akhirat nanti kita akan
cemerlang.”
“Kalau begitu malanglah kalau kita jadi orang miskin, pekerjaan kita
buruh, pangkat kita rendah dan kita jadi orang yang biasa-biasa sahaja
di dunia.”
“Mengapa begitu?” saya bertanya kehairanan.
“Ya, bukankah orang miskin, marhein dan orang yang biasa-biasa itu dianggap tidak cemerlang di dunia?”
Saya mengurut dada. Mujur dia bertanya.
“Perspektif Islam mengenai kejayaan berbeza dengan takrifan majoriti
masyarakat hari ini. Menjadi miskin, seorang buruh dan marhein setelah
berusaha bersungguh-sungguh, bukan bererti gagal. Itu hanya ujian dalam
kehidupan.”
Di dalam hati saya bertekad ingin menjelaskan konsep hidup di dunia
sebagai ujian terlebih dahulu. Setelah itu baru saya ingin menerangkan
erti kejayaan dalam Islam. Ya, lulus ujian baru berjaya.
“Apa maksud dengan ujian kehidupan?” tanyanya lagi. Alhamdulillah,
dia membuka ruang untuk saya memberi penjelasan. Memang benar seperti
yang selalu dikatakan, pertanyaan itu kunci kepada ilmu.
“Bila Allah beri kita kaya, belum bererti Allah memuliakan kita…
Allah baru menguji kita. Begitu juga apabila Allah berikan kemiskinan
buat kita… itu bukan menunjukkan Allah sedang menghina kita tetapi
sebaliknya Allah sedang menguji kita. Bukan itu sahaja, apabila Allah
kurniakan kuasa, menarik kuasa, rupa yang cantik, rupa yang buruk,
ternama atau biasa-biasa sahaja, semuanya ujian untuk kita.”
“Ujian untuk apa ustaz?”
“Ujian sama ada kita mengingati-Nya atau tidak, mentaatinya atau tidak, “ jawab saya.
Melihat dia terdiam, saya menyambung penjelasan, “ orang miskin boleh
berjaya jika dalam miskinnya dia mengingati Allah dengan kesabarannya.
Orang kaya, mengingati Allah dengan kesyukurannya. Yang berkuasa,
menegakkan keadilan kerana Allah. Yang marhein, patuh dan setia kerana
Allah juga. Situasi dan kondisi yang kita hadapi dan alami bukan
penentu kejayaan kita tetapi respons kita terhadap kondidi itu yang
lebih penting. Apakah kita bertindak balas dengan apa yang kita hadapi
seperti selayaknya seorang hamba Allah? Seorang hamba Allah sentiasa
mengingati Allah dalam apa jua keadaan, positif mahupun positif…”
“Maksudnya, yang negatif pun jadi positif?”
“Ya, semuanya baik, bergantung pada tindak-balas diri kita. ‘All is
well’ – semuanya baik. Ya, semua yang datang dari Allah adalah baik
belaka kerana semua itu hanya ujian buat kita. Jika kita menghadapinya
dengan hati yang sabar, syukur atau redha… ya kita berjaya!”
“Jadi ada orang kaya, berkuasa dan ternama di dunia ini boleh dianggap gagal?”
“Bukan boleh dianggap gagal tetapi mereka memang gagal. Sekiranya
dengan ujian kesenangan, kekuasaan, kenamaan dan kecantikan itu mereka
tidak bersuyukur, zalim, kufur, malah takbur kepada Allah dan sesama
manusia. Sebaliknya orang miskin, marhein dan melarat itu hakikatnya
berjaya sekiranya mereka mengingati Allah dalam kesabarannya.”
“Tetapi kalau mereka miskin kerana malas… tidak gigih mencari ilmu,
menambah kemahiran dan ilmu, lalu mereka sabar, apakah itu juga boleh
dikatakan berjaya?”
Kritikal betul cara berfikir pelajar ni, bisik hati saya.
“Orang malas bukan orang yang ingat Allah. Sabar itu bukan pasif dan
tidak produktif. Sabar itu aktif dan produktif. Orang yang ingat Allah,
akan ingat akhirat. Orang yang ingat akhirat akan sentiasa sibuk di
dunia…”
“Orang yang ingat akhirat akan sibuk di dunia?”
“Ya, sebab dia sedar dia hendak menuai di akhirat, jadi sibuklah dia
menanam di dunia. Dunia ini jadi kebunnya… Lihat orang berkebun, dia
akan sibuk menebas, menggempur, menyemai benih, memberi baja, mengairi,
menjaga tanamannya dari serangga dan macam-macam lagi… Begitulah orang
yang hendak menuai di akhirat, akan sibuk di dunia.”
“ Agaknya inilah yang dimaksudkan orang yang paling bijak ialah orang
yang mengingati mati dan membuat persediaan untuk menghadapinya…”
“Benar. Benar sekali. Sebaliknya, sipemalas ialah orang yang dungu,
bukan orang yang sabar. Dia tidak akan dapat pahala sabar… sebaliknya
mendapat dosa kerana kemalasannya.”
“Malas itu satu dosa?”
“Ya, malas itu satu dosa. Cara bertaubat dari dosa malas ialah dengan
gigih bekerja. Kita adalah khalifah di muka bumi. Seorang khalifah
wajib memberi kebaikan kepada diri, orang di sekelilingnya dan alam
sekitarnya. Untuk itu dia mesti rajin. Bagaimana seorang pemalas boleh
melaksanakan tugasnya sebagai khalifah?”
Saya teringat khutbah yang baru saya dengar bulan lalu. Yang boleh
saya simpulkan daripada kata khatib itu ialah, keadaan yang kita hadapi
atau apa yang kita miliki, bukan pengukur kejayaan kita. Sebaliknya,
kejayaan kita terletak kepada sejauh mana diri kita mengingati Allah
ketika memiliki sesuatu atau semasa kita menghadapi suatu situasi.
Akan saya sampaikan semula apa yang saya terima kepada pelajar itu,
insyaAllah. Ya, saya masih ingat ketika khatib itu menegaskan:” Kejayaan
Nabi Ibrahim AS bukan kerana baginda tidak terjejas oleh api yang
dinyalakan oleh Namrud tetapi kerana ketika di dalam nyalaan api itu
Nabi Ibrahim mengingati Allah, kerana kalau kejayaan itu diukur pada
tidak terjejas jasad baginda oleh api, apakah kita mengatakan bahawa
‘ashabul ukhdud’ yang terbakar kerana mempertahankan tauhid itu tidak
berjaya? Apakah Masyitah dan anaknya yang terkorban apabila dihumban ke
dalam api oleh Firaun itu tidak berjaya?
“Khatib itu menambah lagi:” Jika kita katakan, kejayaan itu kepada
keadaan Nabi Ismail yang tidak jadi disembelih oleh ayahnya Nabi Ibrahim
AS dengan digantikan dengan seekor kibyas… apakah Nabi Zakaria AS yang
syahid dan terbelah dua kerana digergaji oleh musuh Allah itu tidak
berjaya? Apakah Sumayyah yang mati ditusuk lembing oleh kafir Quraisy
itu tidak berjaya?”
Tanpa disedari air mata mengalir apabila Khatib itu berkata,
“tuan-tuan, Nabi Ibrahim, Nabi Zakaria, Sumayyah dan Asyhabul Ukhdud
semuanya berjaya… walaupun situasi ujian yang mereka hadapi berbeza.
Justeru, yang menentukan suatu kejayaan bukan situasi tetapi respons
hati mereka ketika menghadapi situasi itu. Respons hati mereka tetap
sama, walaupun situasi yang mereka hadapi berbeza.”
“Respons hati mereka hanya mengingati Allah,” ujar pelajar itu.
“Ujian tidak akan menghina atau memuliakan kita tetapi reaksi atau
respons kita terhadap ujian itulah yang memuliakan atau menghinakan
kita. Yang sabar dan syukur, jadi mulia… lalu mereka berjaya. Yang putus
asa dan takbur, jadi hina… lalu mereka gagal. Sering diungkapkan oleh
bijak-pandai, jika dapat limau manis, bersyukurlah. Sebaliknya jika
dapat limau masam, jangan kecewa… buatlah air limau!”
“Jadi berjaya di dunia itu letaknya pada hati?” rumus pelajar yang bijak itu.
“Ya. Terletak pada ‘qalbun salim’ – hati yang sejahtera. Hati yang
boleh dimiliki oleh sikaya, simiskin, ternama, marhein, sicantik, yang
hodoh, pemerintah mahupun rakyat. Hati itulah yang dinilai oleh Allah di
Padang Mahsyar kelak ketika semua anak-pinak dan harta-benda tidak
berguna lagi…”
Saya menambah lagi,“ Hati yang ingat Allah pada setiap masa, ketika
dan keadaan apa pun jua. Itulah kejayaan! Allah Maha adil tidak
meletakkan kejayaan kepada yang lain kerana ujian hidup manusia yang
ditakdirkan berbeza-beza. Namun berbeza-beza ujian itu matlamatnya sama…
sejauh mana kita merasakan kita hamba Allah dan kepadaNya kita akan
dikembalikan!”
“Bukankah itu makna ucapan istirja’ - innalillah wa in na ilaihi
rajiun? – kami milik Allah, kepadaNya kami akan kembali,” balas pelajar
itu.
Saya mengangguk perlahan, seraya berkata, “hati itulah anakku… yang
perlu kita miliki sebelum kembali. Itulah ‘syurga’ di hati kita. Itulah
kecemerlangan di dunia yang menjadi petanda kecemerlangan akhirat. Jika
di hati kita belum ada syurga itu ketika hidup di dunia… maka sukarlah
kita mendapat syurga yang kekal abadi di akhirat nanti!”
“Apa yang perlu kita lakukan ustaz?”
Saya terdiam. Di dalam hati terlalu sebak. Masih jauh hati ini dengan
‘syurga’ dunia. Dan alangkah jauhnya dengan syurga akhirat.
“Anakku, kita akan terus diuji. Beruntunglah kerana ujian ini masih
ada. Allah masih sudi menguji kita. Hidup masih berbaki. Kalau gagal,
kita masih berpeluang untuk mengulang. Mencintai syurga bukan bererti
meminggirkan dunia… kerana ada ‘syurga’ di sini, yang wajib kita miliki
sebelum layak menikmati syurga di sana.”
“Syurga di hati kita…”
“Yang ditempa oleh setiap hamba Allah yang sejati… dengan keringat, dengan air mata dan sesetengahnya dengan darah. “
“Hidup di dunia untuk menderita?”
“Tidak anakku… hidup di dunia untuk diuji. Kita akan tenang, berjaya
dan bahagia selagi Allah ada di hati kita. Ingat, ‘all is well’, kerana
semuanya dari Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Bila diuji,
jangan katakan.” ya Allah, ujian-Mu sangat besar. Tetapi katakan, wahai
ujian, aku ada Allah yang Maha besar.”
‘Allah is bigger than your problems… insyaAllah, all is well!’ . Tetap adalah lautan kasihNya di sebalik ujianNya yang setitis.
http://genta-rasa.com
nota:
qalbun salim... hati yang sejahtera,
all is well, all is well, all is well,
what ever happen back to Allah..
No comments:
Post a Comment