Sunday, January 29, 2012

Solat Jenazah

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamua'laikum wbt, 
kalau ditanya pada mahasiswa sekarang, pastinya hanya 3/10 yang tahu bagaimana nak mengerjakan solat jenazah. tak perlu tengok jauh, jika keluarga kita yang meninggal dunia, bagaimana kita nak tunaikan solat jenazah kalau kita tiada ilmu. 

mari kita kongsikan bersama-sama bagaimana nak mengerjakan solat jenazah. 

1. Takbir pertama berserta NIAT.Selepas takbir baca AL FATIHAH.
Niat:
Sahaja aku sembahyangkan mayat ini 4 takbir fardhu kerana Allah Taala.

2. Takbir kedua.Selepas takbir, baca SELAWAT.
Selawat :
Allahumma solli a'la Muhammad.

3. Takbir ketiga. selepas takbir, baca DOA ke atas mayat.
Doa :
Allahummargh firlahu warhamhu (untuk mayat lelaki)
Allahummargh firlaha warhamha (untuk mayat perempuan)

4. Takbir keempat. Selepas takbir, beri SALAM.
Salam:
Assalamualaikum warahmatullah (Kanan dan kiri)

Alhamdulillah. Itu sahaja.
Selalulah lazimi menziarahi kematian nescaya ia mendekatkan diri kepada Allah.
Sebarlah kebaikan ini, moga secalit kejahilan dapat dipadamkan.

Tuesday, January 17, 2012

Muslim yang paling baik

Bismillahirrahmanirrahim,

Abu Musa al-Asy’ari berkata,”Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: ‘Wahai Rasulullah, orang Islam manakah yang paling utama?’ Baginda menjawab “Orang yang tidak pernah menganggu orang Islam lainnya, sama ada dengan lisan (kata-kata) ataupun dengan tangan (tindakannya)” (Riwayat Bukhari).

Muslim (Orang Islam) ialah orang yang menyelamatkan muslim lain dari perbuatan dan kata-katanya… (Riwayat Ahmad dari Abu Hurairah)

Muslim yang paling baik tidak menyusahkan orang lain melalui tangannya iaitu tindakannya. Dia tidak akan meletakkan kenderaannya hingga menggangu lalulintas. Dia tidak akan membunyikan honnya dengan kuat sehingga menyebabkan orang lain terkejut.

Muslim yang paling baik tidak mencela muslim yang lain melalui lisannya. Dia tidak akan memfitnah sesama Islam. Muslim yang baik juga tidak mempunyai hasad dengki sesama sendiri.

Islam melarang umatnya menggunakan mulut untuk mengumpat atau bercakap kotor dan menggunakan anggota lain untuk menyakiti orang Islam yang lain.

Berakhlaklah dengan akhlak Nabi iaitu akhlak AlQuran. Nabi mengamalkan setiap perkara dan akhlak baik yang disebut dalam AlQuran. Akhlak Muslim yang mulia itu berat timbangannya. Amalan yang dilakukan beserta akhlak yang baik, walaupun sedikit diberikan pahala dan ganjaran yang banyak.

Dari Abu Al-Darda’ r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda“Tidak ada sesuatu pun yang ditimbang pada hari Kiamat yang lebih berat daripada akhlak dan budi pekerti yang baik. ” (Riwayat Abu Daud & Tirmizi).

Akhlak adalah sesuatu yang abstrak (tidak boleh dipegang), yang tidak boleh ditimbang secara zahirnya. Namun Allah boleh menimbang perkara yang abstrak, misalnya amalan puasa dan sembahyang. Hanya Allah yang boleh menimbang dan menilai berat pahala amalan-amalan tersebut.

Amalan yang banyak tetapi disertai dengan akhlak yang buruk pula mengurangkan pahala. Pernah Rasulullah SAW berkumpul bersama dengan para sahabat. Kemudian salah seorang sahabat berkata bahawa dia memiliki seorang jiran wanita yang sering berpuasa siang hari dan di malam harinya sembahyang tahajjud. Tetapi Rasulullah mengatakan bahawa wanita itu adalah ahli Neraka. Sahabat bertanya, mengapa demikian. Jawab Baginda Rasulullah SAW, “Wanita itu selalu menyakiti jiran tetangga dengan lidahnya, tidak ada kebaikan lagi baginya dan dia adalah ahli Neraka.

artikel asal- http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/01/16/muslim-yang-paling-baik/

nota:

Saudaraku,
ku sedari, ku bukan muslim yang baik,
maafkan daku bilaku menyakitimu dengan lisan atau perbuatan.

maafkan daku...
Ya Allah, ampuni dosa-dosa ku,
ku insan yang lemah,
kalah dengan  nafsu dan iman yang lemah..
namun ku yakin, keampunan dan rahmatMu..
jadikan ku hamba yang sebenar hamba,
Amin allahumma amin..

the best quote i found..

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamua'laikum wbt,

I just want to share the best quote i found.

YOU'LL WILL NEVER KNOW HOW STRONG YOU ARE, UNTIL BEING STRONG IS THE ONLY CHOICE YOU ARE LEFT

*pemilik blog ini sudah kembali kepada Allah, beliau mengidap kanser. tetapi semangat dakwahnya yang tinggi membuatkan dirinya terlupa yang dia sedang bertarung dengan kesakitannya. Allahurabbi.. kita sebagai manusia yang belum diuji dengan kesakitan dan kesusahan yang berat, mari tanamkan azam untuk terus sebarkan risalah dakwah.  sekarang blog ini diupdate oleh ibunya. semoga kita terus istiqomah dalam jalan Allah.

Wednesday, January 11, 2012

6 perkara untuk meringankan musibah.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang mukmin sentiasa reda dengan apa saja ujian atau musibah yang berlaku keatas dirinya. Sifat reda dan sabar ketika menghadapai suasana genting adalah akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah S.W.T.
Menurut Ibn Qayyim dalam kitab Zad al-Ma'ad musibah yang berlaku boleh diringankan dengan enam cara :

1. Mengikut petunjuk Allah dan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya.
2. Mencari ilmu yang syar'i.
3. Bertaubat daripada dosa-dosa.
4. Mengamalkan zikir yang berterusan.
5. Berbuat baik kepada semua makhluk.
6. Melakukan mujahadah.
Huraiannya adalah seperti berikut :

1. Mengikut petunjuk Allah dan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya.
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya kejalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang  terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka kejalan yang lurus."(Surah al-Maidah ayat 16).

Al-Quran merupakan sumber utama ajaran Islam, di mana di dalamnya terkandung hidayah dan petunjuk bagi setiap muslim dalam menjalani kehidupan agar selamat dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ada beberapa macam hidayah al-Quran kepada manusia iaitu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya Ilahi. Ajaran al-Quran membimbing manusia agar keluar dari kegelapan yang berupa kekafiran, kesesatan dan kebodohan menuju cahaya Ilahi yang berupa keimanan, keislaman dan ilmu pengetahuan.

Kita perlu mengikhlaskan beribadah kepada Allah S.W.T. Ikhlas selalunya lahir dari hati.yang luhur dan mengharapkan reda Allah S.W.T. semata-mata. Inilah akan menjadi kunci kesempurnaan dan kejayaan segala amal. Allah S.W.T. akan menerima perbuatan atau amal yang dilakukan dengan ikhlas.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya".Ingatlah hak yang wajib dipersembahkan kepada Allah ialah segala ibadat dan amalan yg suci bersih dari segala rupa syirik.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "...Kemudian Allah bertanya kepada orang yang beribadat dengan ikhlas. Dia menjawab, “Dengan kemuliaan dan ketinggianMu, Engkau lebih tahu apa yang aku kehendaki. Aku menghendaki zikir kepadaMu dan mengharap redaMu.” Allah berfirman maksudnya : “Benar hamba-Ku.” Dia pun dihantar ke syurga. (Hadis Riwayat Thabrani)

2. Mencari ilmu yang syar'i.
Mencari ilmu yang syar'i perlu menghadiri majlis ilmu dan tazkirah yang di adakan di masjid atau di surau. Mendengar dengan khusyuk penyampaian ilmu daripada guru-guru yang arif.
Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot, “Ilmu yang muktabar menurut syara’ adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya  mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturan-Nya suka atau tidak suka”.

3. Bertaubat daripada dosa-dosa.
Sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tidak ada permohonan yang lebih besar dari permohonan keampunan dari segala noda dan dosa. Setiap satu dosa yang kita kerjakan akan terjadi satu titk hitam pada hati-hati kita. Apabila terlalu banyak dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak maka titik-titik hitam itu akan menjadi banyak hingga hati itu menjadi hitam pekat. Apabila hati sudah menjadi hitam maka selaput inilah yang menjadi hijab kepada Allah S.W.T

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat."

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud :
"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."

4. Mengamalkan zikir yang berterusan.
Sifat orang-orang mukmin lidahnya sentiasa basah berzikir kepada Allah S.W.T. Dengan berzikir hati akan menjadi tenteram, bahagia dan damai kerana perhubungan ketika itu adalah perhubungan terus kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”(Surah Al Imran Ayat 191)

Rasulullah S.A.W.  bersabda maksudnya : “Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api Neraka Jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan daripada api Neraka Jahanam”.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi S.A.W.  bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah S.W.T. Para malaikat selalu mengelilingi bumi. Para malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit."

5. Berbuat baik kepada semua makhluk.
Menyebabkan dada menjadi lapang. Sifat orang mukmin akan berbuat baik kepada semua makhluk Allah S.W.T. di muka bumi. Samaada kepada manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Terutama kepada kedua ibu bapa, saudara mara, jiran tetangga dan anak yatim dan fakir-miskin.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya :Tidak ada kebaikan pada kebanyakan dari bisik-bisik mereka, kecuali siapa yang menyuruh bersedekah, kebaikan, atau mendamaikan antara manusia. Dan barangsiapa yang melakukan hal itu dengan mencari reda Allah, maka Kami akan memberikannya pahala yang besar.”  (Surah an-Nisa ayat 114)

Allah ‘Azza wa Jalla mengabarkan bahwa semua hal di atas adalah bagi sesiapa pun yang merealisasikannya, serta kebaikan akan mengundang kebaikan dan menolak keburukan. Juga Allah ‘Azza wa Jalla janjikan bagi mukmin yang mengharap pahala-Nya, maka Allah akan memberikan pahala yang besar. Termasuk dari pahala yang besar itu adalah  hilangnya kerisauan, kesusahan, kekeruhan hati, dan seterusnya.

6. Melakukan mujahadah.
Dengan melakukan mujahadah seseorang boleh mengikis sifat-sifat negatif yang ada pada dirinya. Pada adatnya tidak mungkin kita sampai pada lapangan makrifat terhadap Allah SWT apabila kita tidak mahu bermujahadah, tidak mahu melihat kelemahan-kelemahan yang terkandung dalam diri kita, lebih-lebih lagi kelemahan itu berupa penyakit hati.

Oleh itu Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang berjuang di jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memberi petunjuk mereka itu pada jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang membuat kebaikan.”

Mujahadah” yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah memerangi hawa nafsu yang mengatasi segala kelemahan diri untuk mencapai dengan sempurna keredaan Allah SWT.  Tegasnya, orang-orang yang mengerjakan sesuatu yang tidak baik bererti ia mendatangkan kekurangan pada peribadinya sendiri. Umumnya tabiat manusia tidak menghiraukan keaiban-keaiban tetapi mengutamakan pada hal-hal yang dianggap baik.

Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri. Apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita sendiri. Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja kita dapat menilai apakah kehendak itu baik atau jahat. Namun setakat tahu buruk atau baiknya belum cukup untuk kita mampu melaksanakan atau meninggalkan. Kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak mahu melaksanakannya.

Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu kerana sentiasa mendapat bisikan  syaitan , syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti lesu. Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita di tipu dan  dihasutnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila hati sentiasa berhubungan dengan Allah S.W.T, berdoa dan bermunajat, Allah S.W.T. akan meringankan segala bebanan dan penderitaan kita. Musibah yang datang juga akan diringankan oleh-Nya. Oleh it marilah kita sama-sama amalkan enam perkara yang tersebut di atas semoga kita menjadi hamba-hamba Allah yang dikasihi dan diredai-Nya.

sumber: abubasyer.blogspot.com

nota buat diri: 
maaf buat sahabat, 
jikaku menyendiri buat seketika, 
izinkan daku membaiki kelemahan diri,
agar daku tidak melampaui batas terhadap diriku dan kamu.. 

semoga keimanan dan ketaqwaan mengikat hati kita, 
bukan berdasarkan harta benda dan kasih sayang yang palsu. 

Amin.. Allahumma amiin.. 
Ampuni dosa-dosaku, 
Ampuni dosa kedua iba bapaku,
Ampuni dosa keluarga ku, 
Ampuni dosa guru-guruku,
Ampuni dosa sahabat-sahabatku.. 

Ya Allah, 
Tunjukkan kami jalan yang lurus yang Kau redhai, 
Bukan jalan yang Kau murkai. 

Amin ya Rabbal Alamin.. 

Tuesday, January 10, 2012

rintihanku.. tetapkan hatiku dalam iman yang hakiki..

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

"Ya Tuhanku,kurniakanlah aku dua mata yang suka menitiskan air mata, sebelum datangnya saat di mana dua mata ini menitiskan darah dan gigi-gigi menjadi bara..

Ya Allah..
Aku tak punyai bahasa yang indah untuk digunakan ketika bermunajat ke hadratMu.. Susunan bahasaku sekadar ucapan biasa yang lahir dari hati yang kotor ini dan terucap di bibir.

Ya Allah..
Meskipun begitu,aku tetap berharap agar Kau mendengar rintihan hati ini.. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar setiap rintihan hamba-hambaMu ini sama ada dizahirkan ataupun tidak.

Ya Allah..
Telah aku terumbang-ambing di lautan kesepian tatkala diri ini benar-benar berjauhan dariMu. Telah aku harungi hari-hariku dalam kegelapan tanpa petunjuk dariMu. Hari ini, saat ini.. tiba-tiba hati ini terlalu rindu untuk bertemu denganMu.. Diri ini terlalu mendamba kasih sayang dan pimpinan dariMu Ya Rahman. Dosa-dosa yang ku lakukan semalam telah menghitamkan hati ini, hingga payah bagi nur hidayahMu untuk menyelinap masuk walau seketika. Hati ini sesungguhnya telah ternoda oleh dosa-dosa semalam. Maka dengan itu Ya Allah.. kurniakanlah aku sekeping hati yang baru sekiranya hati yang kau berikan itu sudah rosak. Berilah daku hati yang sentiasa mengingatimu, yang cepat tersentuh tatkala mendengar kalimahmu.
Ya Allah,aku merindui syahid di jalanmu.. aku ingin kembali padaMu dengan hati yang bersih.. membawa bersama kuntuman cinta untukku hadiahkan padaMu
amiiin… ya rahman.


nota:

kadang-kadang diri ini tidak mengerti akan perihal hati ini,
kadang-kadang mampu serta kuat dan merasa tenang menempuh kehidupan ini,
kadang-kadang lemah dan gundah sahaja dan ingin lepaskan semuanya,
mahu pergi jauh dan mencari ketenangan jiwa, 
bagaimana nak cerita tentang hati ini... 
kepada siapa.. mungkin dicerita nanti akan dipinggirkan
akan dikatakan gila atau tidak waras..

bagaimana ya Allah.. 
kepadaMu air mata ku tumpah segalanya, 
akan kehinaan diri ini, kegagalan diri ini mengawal nafsu diri... 

Ya Rabb, tundukkanlah nafsu dalam diriku ini 
agar daku tidak berkeinginan pada kasih sayang manusia dan dunia.. 
cinta manusia hanya bermusim dan sementara,

ya Rabb, tambahkan cintaku hanya kepadaMu.. 
lepaskanlah cinta dunia yang melilit dan mencengkam hatiku ini..
Ya Rahman, Ya Rahim.. Engkau yang menjadi sandaran cintaKu..



Cinta itu urusan hati,manakala hati itu urusan Allah..

Bismillahirrahmanirrahim, 

sedikit perkongsian dan cerita hatiku.. 

"Nah, ambil benda ni. Apa ni? Hati aku Hati kau? Hmm.. Kenapa kau sudi kasi pada aku? Sebab kau sebahagian dari aku. Kau lebih dari seorang kawan. Terima kasih. Ianya bererti. Aku terlalu menghargainya. Oh ye ke? Tapi maaf, untuk apa? Sebab. Aku tak beri sepenuhnya. Cuma sebahagian sahaja.

Maksud kau. Aku pernah beri pada orang lain juga, tapi aku tak pernah beri kesemuanya. Aku takut aku tiada hati untuk diri sendiri. Mungkin aku takut, ia tak dijaga sebaiknya. Ia bukan seperti barang lain seperti duit, permata dan sebagainya. Ia penuh mistik, ada keajaiban tersendiri. Mistik? Kelakar bunyinya. Mungkin, tapi itu realitinya. Ia berubah mengikut rentak hidup kau. Rentak perasaan orang yang aku beri.

Jika dia ikhlas, hati ini akan indah dan bersinar. Tapi, jika dia mempersiakannya, hati ini akan malap. Mungkin akan terus mati untuknya. Ia bukan benda percuma. Hati ini diberi hanya kepada insan yang terpilih. Insan istimewa. Dan kau salah seorang daripada nya, kerana naluri aku terlalu percayakan kau. Aku insan terpilih? Ya, kau terpilih. Hati ini sering bertukar-tukar mengikut perasaan org yang diberikan. Ia terlalu sensitif. Tapi ia cukup kebal dan kental pada musuh aku. "Musuh", mungkin terlalu kejam untuk aku memperkatakan tentang mereka. Ia tak berubah-berubah seperti yang terjadi jika ia diberi kepada orang istimewa.

Hati aku hanya tinggal sebahagian sahaja. Ada org yang tak pernah memulangkannya, walaupun aku hanya pinjamkan sekejap. Ada yang pulangkan dengan penuh kelukaan. Ada yang sudi beri sebahagiaan hatinya pula sebagai ganti. Dan jika kau nak tahu, setiap hati manusia ada nilai tersendiri. Setiapnya terlalu mistik! Cuma satu yang kau tak mengerti. Sekali ia terluka, kadangkala sukar nak mengubatinya.

Ada kalanya, mengambil masa yang lama.

Dan bila tiba sesuatu yang tak diingini, mungkin pemilik hati itu akan menyendiri seketika, sehingga hatinya pulih seperti sediakala. Hati yang diberi ini bukan untuk suka-suka. Ia lahir atas satu kepercayaan. Dari situ,wujudlah kasih sayang. Jika hilang rasa percaya itu, maka sukar untuk hati itu kembali indah.

nota: diri ini pun kadang tidak mengerti akan perihal hati ini. maka hamba serahkan urusan hati ini kepada pemilik hati.. Allah.. 
Ya Allah, sesungguhnya Engkau sangat dekat. sangat-sangat dekat. Ampuni hambaMu ini.. Ya Rabb.. 


Monday, January 9, 2012

Perbaiki Amal Zahir dan Batin Kalian Untuk Mendekatkan Diri Kepada Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini adalah umpama persinggahan tempat rawat dan rehat (R & R). Perhentian sementara untuk membersihkan diri, tidur seketika, solat, qada hajat, makan, minum, isi minyak kenderaan dan memeriksa kenderaan. Distinasi sebenar masih jauh lagi, masih memerlukan komitmen untuk meneruskan perjalanan supaya tidak tergendala di pertengahan jalan. Sekiranya di R & R kita leka dan tidak menggunakan masa yang ada untuk mengemaskan diri dan kenderaan, di khuatiri diperjalanan yang jauh berlaku kemalangan disebabkan mengantuk atau kerosakan dan kehabisan minyak kenderaan.

Oleh itu kalian perlulah sedar bahawa di dunia yang sementara ini, Allah SWT telah memberi masa yang cukup untuk kita persiapkan diri dengan amalan-amalan soleh, amal ibadah, jihad dan pengorbanan, menghiasi diri dengan akhlak yang mulia dan  mengutamakan amalan-amalan kerohanian yang tinggi.
Untuk melengkapkan diri sebagai hamba Allah SWT yang di redai-Nya maka amalan zahir dan batin perlu berjalan serentak tidak boleh di pisahkan, umpama isi dengan kuku atau malam dengan siang . Diantara satu dengan lain saling lengkap melengkapi. Sekiranya salah satu daripadanya cacat atau tidak berfungsi maka akan berlakulah ketempangan dan tidak berlaku keseimbangan.

Sahabat yang dimuliakan,
Amalan zahir yang utama terletak pada Rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah (Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya), solat fardu lima waktu, puasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan fardu haji ke Baitullah (jika ada kemampuan). Amalan zahir yang lain yang dituntut untuk di laksanakan umpama solat sunat, puasa sunat, sedekah, membaca al-Quran, membantu orang Islam lain dari kesusahan , berdakwah dan mengerjakan amar makruf nahi mungkar dan lain-lain lagi.
Amalan batin yang dituntut adalah khusyuk dalam solat, ikhlas, bertakwa, bertawakkal, tawaduk, rasa takut (khauf), rasa mengharap (rojak), baik sangka, syukur, sabar dan membina sifat-sifat mahmudah yang terdapat dalam hati.

Berhati-hatilah kalian di dalam melaksanakan syariat lahir dan batin, janganlah dicampur adukkan di antara kebaikan dan kemungkaran. Satu masa melakukan ketaatan dan pada masa yang lain melakukan kemungkaran, dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Umpamanya melakukan perintah fardu di samping amalan sunat, adakalanya pemurah dan lemah lembut, tetapi dalam masa yang sama kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba, mendedahkan  aurat, pergaulan bebas, mengumpat, memfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.

Imam al-Ghazali ada berkata : "Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) bangun untuk solat tahajud malam (amalan sunat), jangan buat dosa (haram) di siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti kepada Allah di malam hari (tahajud) tetapi derhaka (buat perkara haram) di siang hari."

Sahabat ada menceritakan pada Nabi SAW. peribadi seorang wanita, iaitu pada siang harinya ia berpuasa sunat dan pada malam harinya ia solat tahajud, tetapi ia suka menyakiti hati jirannya, maka Nabi SAW. menyatakan bahawa tempat tinggal wanita itu adalah di neraka! nauzubillah.

Nabi SAW pernah bersabda maksudnya: "Siapa yang beriman kepada Allah SWT. dan hari kemudian maka janganlah mengganggu jirannya dan berpesan-pesan baiklah kamu terhadap jiran" (Hadis Riwayat Bukhari)
Sahabat yang dihormati,

Janganlah kalian menjadi seperti seorang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan batin. Pada zahirnya nampak sempurna, baik, warak, sopan santun, lemah lembut tetapi hatinya penuh hasat dengki, buruk sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri dan lain-lain lagi. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia rasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di hari akhirat. Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah SWT akan berinya kedudukan yang mulia di dalam syurga.

Hakikat sebenarnya orang seperti ini di anggap derhaka pada Allah dalam amalan taatnya dan ia sebenarnya jauh dari Allah SWT dan hatinya terputus dengan Allah SWT.

Oleh itu dalam menilai amalan, biarlah amalan kalian sedikit walaupun sekadar buat yang fardu dan sedikit yang sunat sahaja, tetapi di hati tersemat rasa takut pada Allah SWT. dan merasai tawaduk dan ikhlas. Walaupun amalan sunat dan ibadah seseorang nampak hebat, tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, masih ada riak dan ujub selama itu ibadahnya tidak ada nilai di sisi Allah SWT. dan belum tentu Allah SWT terima amalan tersebut.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih."
(Surah Al-Nisaa ayat 173).

Rasulullah SWT. bersabda yang bermaksud : " Sesungguhnya yang amat aku takuti sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil." Sahabat bertanya : "Apakah syirik kecil itu?" Baginda SAW. menjawab : "Ialah riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjukkan amalan." Kemudian baginda SAW  menyambung : "Di akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah SWT .berfirman yang bermaksud : "Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjukkan ) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu  boleh perolehi balasan dari mereka itu." (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).

Nabi SAW  pernah bersabda maksudnya: "Tidak akan masuk neraka orang yang didalam hatinya ada seberat biji sawi daripada iman dan tidak akan masuk syurga yang didalam hatinya ada seberat biji sawi dari sombong" (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hurairah maksudnya :"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawasanya manusia yang pertama dipanggil untuk diadili di hari kiamat ialah orang yang mati syahid. Dia datang kepada Allah TuhanNya sambil dia sendiri telah mengetahui nikmat apa yang akan diterimanya. Allah bertanya kepadanya apakah amal kamu? "Jawabnya aku berperang untukmu hingga aku mati syahid". Allah berkata kepadanya "engkau bohong, engkau berperang agar manusia mengatakan engkau seorang gagah, berani dan engkau sudah dikatakan begitu sebagaimana yang engkau kehendaki. Kemudian orang itu dihela masuk ke neraka"

Sahabat yang dikasihi,
Akhirkata, pertingkatkanlah amalan kalian samaada yang zahir dan batin. Laksanakanlah dengan hati yang ikhlas dan tawaduk, tanpa mengharapkan pujian dan sanjungan manusia, nescaya amalan kalian akan diterima dan diredai oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Sumber: abubasyer.blogspot.com


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails