Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini adalah umpama persinggahan tempat rawat dan rehat (R & R). Perhentian sementara untuk membersihkan diri, tidur seketika, solat, qada hajat, makan, minum, isi minyak kenderaan dan memeriksa kenderaan. Distinasi sebenar masih jauh lagi, masih memerlukan komitmen untuk meneruskan perjalanan supaya tidak tergendala di pertengahan jalan. Sekiranya di R & R kita leka dan tidak menggunakan masa yang ada untuk mengemaskan diri dan kenderaan, di khuatiri diperjalanan yang jauh berlaku kemalangan disebabkan mengantuk atau kerosakan dan kehabisan minyak kenderaan.
Oleh itu kalian perlulah sedar bahawa di dunia yang sementara ini, Allah SWT telah memberi masa yang cukup untuk kita persiapkan diri dengan amalan-amalan soleh, amal ibadah, jihad dan pengorbanan, menghiasi diri dengan akhlak yang mulia dan mengutamakan amalan-amalan kerohanian yang tinggi.
Untuk melengkapkan diri sebagai hamba Allah SWT yang di redai-Nya maka amalan zahir dan batin perlu berjalan serentak tidak boleh di pisahkan, umpama isi dengan kuku atau malam dengan siang . Diantara satu dengan lain saling lengkap melengkapi. Sekiranya salah satu daripadanya cacat atau tidak berfungsi maka akan berlakulah ketempangan dan tidak berlaku keseimbangan.
Sahabat yang dimuliakan,
Amalan zahir yang utama terletak pada Rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah (Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya), solat fardu lima waktu, puasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan fardu haji ke Baitullah (jika ada kemampuan). Amalan zahir yang lain yang dituntut untuk di laksanakan umpama solat sunat, puasa sunat, sedekah, membaca al-Quran, membantu orang Islam lain dari kesusahan , berdakwah dan mengerjakan amar makruf nahi mungkar dan lain-lain lagi.
Amalan batin yang dituntut adalah khusyuk dalam solat, ikhlas, bertakwa, bertawakkal, tawaduk, rasa takut (khauf), rasa mengharap (rojak), baik sangka, syukur, sabar dan membina sifat-sifat mahmudah yang terdapat dalam hati.
Berhati-hatilah kalian di dalam melaksanakan syariat lahir dan batin, janganlah dicampur adukkan di antara kebaikan dan kemungkaran. Satu masa melakukan ketaatan dan pada masa yang lain melakukan kemungkaran, dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Umpamanya melakukan perintah fardu di samping amalan sunat, adakalanya pemurah dan lemah lembut, tetapi dalam masa yang sama kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba, mendedahkan aurat, pergaulan bebas, mengumpat, memfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.
Imam al-Ghazali ada berkata : "Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) bangun untuk solat tahajud malam (amalan sunat), jangan buat dosa (haram) di siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti kepada Allah di malam hari (tahajud) tetapi derhaka (buat perkara haram) di siang hari."
Sahabat ada menceritakan pada Nabi SAW. peribadi seorang wanita, iaitu pada siang harinya ia berpuasa sunat dan pada malam harinya ia solat tahajud, tetapi ia suka menyakiti hati jirannya, maka Nabi SAW. menyatakan bahawa tempat tinggal wanita itu adalah di neraka! nauzubillah.
Nabi SAW pernah bersabda maksudnya: "Siapa yang beriman kepada Allah SWT. dan hari kemudian maka janganlah mengganggu jirannya dan berpesan-pesan baiklah kamu terhadap jiran" (Hadis Riwayat Bukhari)
Sahabat yang dihormati,
Janganlah kalian menjadi seperti seorang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan batin. Pada zahirnya nampak sempurna, baik, warak, sopan santun, lemah lembut tetapi hatinya penuh hasat dengki, buruk sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri dan lain-lain lagi. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia rasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di hari akhirat. Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah SWT akan berinya kedudukan yang mulia di dalam syurga.
Hakikat sebenarnya orang seperti ini di anggap derhaka pada Allah dalam amalan taatnya dan ia sebenarnya jauh dari Allah SWT dan hatinya terputus dengan Allah SWT.
Oleh itu dalam menilai amalan, biarlah amalan kalian sedikit walaupun sekadar buat yang fardu dan sedikit yang sunat sahaja, tetapi di hati tersemat rasa takut pada Allah SWT. dan merasai tawaduk dan ikhlas. Walaupun amalan sunat dan ibadah seseorang nampak hebat, tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, masih ada riak dan ujub selama itu ibadahnya tidak ada nilai di sisi Allah SWT. dan belum tentu Allah SWT terima amalan tersebut.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih."
(Surah Al-Nisaa ayat 173).
Rasulullah SWT. bersabda yang bermaksud : " Sesungguhnya yang amat aku takuti sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil." Sahabat bertanya : "Apakah syirik kecil itu?" Baginda SAW. menjawab : "Ialah riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjukkan amalan." Kemudian baginda SAW menyambung : "Di akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah SWT .berfirman yang bermaksud : "Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjukkan ) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu boleh perolehi balasan dari mereka itu." (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).
Nabi SAW pernah bersabda maksudnya: "Tidak akan masuk neraka orang yang didalam hatinya ada seberat biji sawi daripada iman dan tidak akan masuk syurga yang didalam hatinya ada seberat biji sawi dari sombong" (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)
Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hurairah maksudnya :"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawasanya manusia yang pertama dipanggil untuk diadili di hari kiamat ialah orang yang mati syahid. Dia datang kepada Allah TuhanNya sambil dia sendiri telah mengetahui nikmat apa yang akan diterimanya. Allah bertanya kepadanya apakah amal kamu? "Jawabnya aku berperang untukmu hingga aku mati syahid". Allah berkata kepadanya "engkau bohong, engkau berperang agar manusia mengatakan engkau seorang gagah, berani dan engkau sudah dikatakan begitu sebagaimana yang engkau kehendaki. Kemudian orang itu dihela masuk ke neraka"
Sahabat yang dikasihi,
Akhirkata, pertingkatkanlah amalan kalian samaada yang zahir dan batin. Laksanakanlah dengan hati yang ikhlas dan tawaduk, tanpa mengharapkan pujian dan sanjungan manusia, nescaya amalan kalian akan diterima dan diredai oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Sumber: abubasyer.blogspot.com
usaha menuju kesempurnaan
ReplyDelete