Assalamua'laikum wbt, semoga saudaraku sentiasa dalam rahmat Allah. saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang saya pun dapat dari orang lain, semoga bermanfaat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Hikmah adalah barang yang hilang daripada orang mukmin
وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " الكلمة الحكمة ضالة الحكيم فحيث وجدها فهو أحق بها " .
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalimah yang mempunyai hikmah adalah sesuatu yang hilang daripada orang yang bijaksana[1], di mana sahaja dia mendapatinya maka dialah yang lebih berhak dengannya”.[2]
Kalimah pada asalnya memberikan makna satu perkataan tetapi yang dimaksudkan di sini ialah ungkapan atau jumlah ayat yang lengkap. Maksud al-kalimah al-hikmah di sini ialah ungkapan atau kata-kata yang mempunyai nilai bahasa yang tinggi dan mengandungi makna yang sangat halus, tinggi dan mendalam maksudnya walaupun ringkas dan terbit daripada seorang hakim iaitu yang bijaksana.
Imam Malik berkata: “Al-hikmah adalah kefahaman mendalam di dalam agama”[3]. Allah taala berfirman:
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Allah menganugerahkan al hikmah (kepahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).[4]
Maksud sesuatu yang hilang dari orang yang bijaksana dan di dalam riwayat yang lain dari orang yang beriman ialah sesuatu yang sentiasa dicari dan dituntut olehnya dan bila ia mendapatinya daripada sesiapa sekalipun maka dialah orang paling layak memperolehinya sama ada dengan maksud untuk mengikuti atau mengamalkannya. Orang yang bijaksana di sisi agama dan beriman sudah semestinya menilai al-kalimah al-hikmah yang terkandung di dalamnya kebenaran di sisi agama dan ia tetap menerima di mana sahaja atau daripada sesiapapun.
Setengah ulama mengatakan maksud di sini ialah kemampuan manusia untuk memahami sesuatu maksud daripada al-Quran dan hadith adalah berbeza. Kerana itu bagi orang yang tidak mampu untuk memahami maksud-maksud yang tersembunyi daripada sesuatu ayat atau hadith maka ia tidak boleh sama sekali untuk mengingkari orang yang mempunyai kemampuan untuk memahami dan membuat kesimpulan daripadanya. Ini adalah kerana orang yang diberikan rezeki oleh Allah untuk memahaminya adalah merupakan seorang yang bijaksana yang telah memperolehi al-kalimah al-hikmah yang kehilangan daripadanya sebelum ini.
Maksud yang lain ialah kadang-kadang al-kalimah al-hikmah diungkapkan oleh seorang yang tidak mempunyai kelayakan dengannya dan bila ia diperolehi oleh orang yang layak dengannya iaitu al-hakim maka dialah yang lebih layak dengannya daripada orang yang memperkatakannya tanpa memandang kepada rendah atau tinggi kedudukan orang yang memperkatakannya.
Hadith ini juga menunjukkan bahawa seorang alim itu tidak harus menghalang orang lain dari mendapatkan ilmunya bila ia fikir orang itu berkelayakan untuk memahaminya dan begitu juga sebaliknya tidak harus ia memberikan sesuatu ilmu kepada orang yang tidak berkelayakan kerana ilmu itu bukanlah merupakan sesuatu yang hilang daripadanya.
Di antara pengajaran daripada hadith ini ialah seseorang hakim atau ahli ilmu sepatutnya sentiasa mencari-cari dan mendalami al-Quran dan hadith yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. seperti seseorang mencari barangnya yang hilang. Pengajaran yang lain ialah kebenaran mestilah diterima tanpa mengira daripada siapa ia datang dan bukan kerana melihat kepada orang yang menyampaikannya. Benar sekali apa yang diungkapkan oleh bijak pandai yang berbunyi:
“Kenalilah seseorang itu kerana kebenaran (yang dibawanya) bukan mengenali kebenaran kerana seseorang (iaitu menerima sesuatu sebagai kebenaran berdasarkan orang yang mengatakannya bukan berdasarkan kepada sesuatu dalil) dan kenalilah kebenaran nescaya engkau akan mengenali ahlinya.[5]
[1] Lafaz hakim yang terdapat di dalam riwayat yang dikemukakan oleh pengarang Misykat al-Masabih ini tidak terdapat di dalam mana-mana kitab hadith utama. Sebaliknya di dalam Sunan Ibnu Majah dan Jami’ at-Termizi lafaz mukmin digunakan di tempat lafaz hakim. Makna bagi matan hadith yang terdapat di dalam dua kitab tersebut adalah “Kalimah yang mempunyai hikmah adalah barang yang hilang daripada orang mukmin”.
[2] Sunan Ibnu Majah Bab Hikmah, Sunan at-Termizi Bab Hadith Yang Datang Berkenaan Kelebihan Kefahaman Mendalam Daripada Ibadat. Imam at-Termizi berkata: “Ini adalah hadith ghorib, kami tidak mengetahuinya kecuali melalui jalan ini. Ibrahim bin al-Fadhl adalah seorang yang dho’if dari segi hafalannya.
[5] Di dalam sesetengah kitab kata-kata ini dinisbahkan kepada Sayyidina Ali r.a. dengan sedikit perbezaan antara satu sama lain. Penulis tidak menemui rujukan yang boleh dipertanggungjawabkan untuk dinisbahkan kepada beliau.
http://tamanulama.blogspot.com/2012/02/hikmah-adalah-barang-yang-hilang.html
http://tamanulama.blogspot.com/2012/02/hikmah-adalah-barang-yang-hilang.html
No comments:
Post a Comment