Sunday, May 20, 2012

hudud di Malaysia, bagaimana nak mulakan?


1. Di Malaysia, agama Islam diletakkan di bawah kuasa negeri. Sebab itu undang-undang di Mahkamah Syariah digubal melalui negeri melainkan Negeri yang tiada Sultan iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Melaka. Ia diletakkan bawah kuasa Agong maka Parlimen yang akan gubal.

2. Undang-undang di Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa pada orang bukan Islam.

3. Jika orang Islam berkhalwat dengan orang bukan Islam, kalau ditangkap, yang akan dibicarakan di Mahkamah Syariah adalah orang Islam.

4. Oleh itu, orang bukan Islam tidak perlu takut pada Mahkamah Syariah. Ia tidak ada kena mengena dengan mereka.

5. Kalau mereka tolak hukuman mahkamah syariah sebenarnya, ia mainan politik mereka yang memang tidak mahu melihat Islam terdaulat di negara tercinta ini.

6. Di Malaysia juga, bidang kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah sangat kecil iaitu 365 (3 tahun penjara, 6 kali sebatan dan 5 ribu denda). Mahkamah Syariah tidak boleh menjatuhkan hukum lebih dari itu kerana itu sahaja bidang kuasa maksimanya.

7. Untuk menjalankan hukum hudud di Malaysia, maka perlu dicadangkan kepada Parlimen agar meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

8. Ia boleh dimulakan dulu dengan meluaskan sebatan sehingga 100 (sekarang maksima hanyalah 6 sebatan). Ketika cadangan, tidak perlu pun kata “kita nak jalankan hudud”, kita cuma cadangkan meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

9. Kena wujudkan dua bahagian kajian, pertama kaedah sebatan kerana sebatan syariah tidak sama dengan dengan sebatan civil dan keduanya tempat sebatan kerana hukuman sebat perlu dibuat di hadapan ramai untuk iktibar.

10. Kala ini, parti yang paling sesuai untuk mencadangkan di Parlimen adalah parti UMNO kerana UMNO parti yang memerintah. Dan ketika mencadangkan, parti Melayu Islam lain seperti PAS kena menyokong. Jangan politikkan isu ini dan jangan buat komen popular untuk itu. Yang penting, langkah pertama meluaskan bidang mahkamah syariah telah dibuat.

11. Parti komponen Barisan Nasional mungkin ada yang tidak setuju. Ini cabarannya bagi UMNO untuk bertegas dan yakinkan mereka.

12. Bagi PAS, sudah tentu kompenan lain dalam Pakatan ada yang tidak setuju, tapi itu juga cabaran untuk bertegas dan yakinkan mereka.

13. Kena ada keyakinan dan ketegasan, kalau asyik nak tunggu semua orang kafir setuju, maka hak Allah hanyalah sebagai mainan politik sahaja.

14. Selepas hukuman 100 dapat diluluskan, kemudian, luaskan pada yang lain pula.

15. Modus operandinya ialah parti-parti Melayu Islam perlu bermuzakarah, kepentingan Islam perlu diutamakan. Cari persetujuan untuk kepentingan Islam dan Umatnya.

16. Biar orang lihat kita macam bergaduh tetapi kepentingan Islam satu persatu dapat di ketengahkan. Yang malangnya, satu persatu kepentingan Islam gugur dan hilang hasil pergaduhan ini.

17. Keduanya, kita kena selalu ingat, ketika penjajah keluar dari negara kita, dia bukan tetaskan UMNO, bukan tetaskan PAS seperti dakwaan orang-orang politik, sebenarnya mereka menetaskan sistem politik yang akan menjadikan kita berpecah dan tidak kuat.

18. Kita telah berada di dalam sejarah itu, tidak mungkin kita dapat kembali ke masa lampau, Cuma satu yang perlu kita ingat kembali, POLITIK HANYALAH ALAT BUKAN MATLAMAT, MATLAMAT KITA ADALAH ISLAM TERDAULAT DAN MENJADI CARA HIDUP.

19. Sebab itu, ambillah kepentingan Islam lebih atas dari segalanya. Inilah yang dijaga oleh datuk nenek kita terdahulu sehingga penjajah tidak dapat mengkafirkan anak Melayu selama 400 tahun mereka berada di sini.

20. Jika kita terlupa dengan perkara ini, maka orang kafir, penjajah dan siapa sahaja yang anti Islam tersenyum luas melihat sikap kita saling tak tumpah seperti mereka, akhlak kita lebih teruk dari akhlak mereka dan semakin lama, Islam semakin hilang dari dasar perjuangan dan sendi tanah air.

21. Mungkin kita tidak dapat melihat perkara ini berlaku sekarang, tetapi semoga generasi anak-anak muda yang lebih ikhlas akan memperjuangkannya nanti. Semoga Allah terus memelihara Islam dan Umat Islam di negara ini, amin..

“Sekilas Mengulas Peristiwa”’

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails