Ya Allah Ya Aziz yang Maha Perkasa,Ya Qawiyyu yang Maha Kuat dan Ya Matin yang Maha Teguh dan Sempurna KekuatanMu, tiada yang lebih perkasa dan kuat melainkan Engkau Ya Allah. Diriku ini hanyalah hamba kepadaMu Ya Khalik dan kerana itulah diri ini sentiasa merasa lemah dan tidak berdaya.
HambaMu ini memohon kepadaMu Ya Aziz, Ya Qawiyyu dan Ya Matin kekuatan jiwa untukku hadapi segala rintangan dan ujian hidup ini kerana dengan kekuatanMu daku dapat mengatasi segala masalah dan kesulitan didalam hidup.
Ya Allah Ya Ba'ith yang Maha Membakar Semangat, bakarlah semangatku untuk berusaha bagi menghadapi rintangan dan ujian.
HambaMu ini sedar Ya Allah, Engkau ingin menjadikan aku umpama berlian yang sangat bernilai dan berharga.Sesungguhnya Ya Allah,aku sedar yang berlian dicipta dengan penuh tekanan yang amat dahsyat dan memakan masa yang amat lama sehingga terjadinya berlian yang sangat cantik dan berharga. Aku sedar proses tekanan dan ujian ini mesti dilalui kerana Engkau Ya Rahman Ya Rahim ingin menaikkan martabatku hampir kepadaMu dan ianya mesti dilalui oleh setiap manusia yang hebat.
Aku yakin Engkau Ya Aziz tentu akan menguatkanku dan membangkitkan semangatku.
Engkau Ya Wahhab yang Maha Pemberi, Ya Mujib yang maha Mengabulkan, kabulkanlah permintaan hambaMu ini..
No comments:
Post a Comment